Berkongsi Idea Menjana Pendapatan

Roselle FAMA Rompin Pahang

Dengan pengeluaran hasil sebanyak 32 tan tahun lalu membabitkan dua kawasan seluas 24 hektar meletakkan Rompin sebagai pengeluar utama roselle di Pahang untuk pasaran tempatan dan antarabangsa.


Projek kendalian Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) itu mula diusahakan pada 2008 membabitkan 40 petani di Kampung Desa Murni dan Kampung Tebu Hitam yang terdiri daripada golongan berpendapatan rendah.
 
Rata-rata petani wanita terbabit mampu meraih pendapatan antara RM2,000 hingga RM3,000 semusim. Selepas roselle, mereka mengusahakan tanaman seperti keledek, sayuran dan jagung.

Pegawai FAMA Rompin Khairol Mohd Yonan berkata, pokok roselle mengeluarkan hasil selepas dua bulan ditanam dan hanya mampu hidup antara tiga hingga empat bulan.

Menurutnya, kemuncak pengeluaran buah pada bulan ketiga dan hasilnya dituai setiap minggu. Proses menggred dan ‘deko’ atau membuang biji roselle perlu dilakukan terlebih dahulu sebelum dipasarkan.

“FAMA Rompin bertanggungjawab sepenuhnya membeli hasil petani dengan menawarkan harga antara RM3 hingga RM4.50 sekilogram mengikut gred. Buah berkenaan dibeli FAMA Johor untuk diproses menjadi produk hiliran selain dieksport.

“Buah roselle daerah ini terkenal kerana berkualiti tinggi apabila berjaya menembusi pasaran Australia sejak beberapa tahun lalu. Buah gred A biasanya digunakan sebagai hiasan dan diletakkan pada gelas minuman.

“Tahun lalu pengeluaran roselle daerah ini mencecah 32 tan membabitkan dua kawasan penanaman. Hasil tertinggi di ladang Kampung Tebu Hitam sebanyak 26 tan,” katanya.

Khairol berkata, sebuah pusat pengumpulan dibina di Kampung Desa Murni dan Kampung Tebu Hitam untuk kemudahan petani melakukan aktiviti mengred dan deko.

“Setiap hari petani akan berkumpul melakukan aktiviti berkenaan secara berkumpulan dan seminggu sekali lori FAMA Johor akan datang untuk mengambil buah roselle. Sebelum itu proses menimbang dan mengred mengikut bakul dilakukan sebelum pembayaran,” katanya.

Khairol berkata, petani mendapatkan bekalan benih roselle dan khidmat nasihat penanaman dan penjagaan pokok itu daripada pegawai Jabatan Pertanian Rompin .

“Setiap petani menanam pokok roselle antara 0.2 hingga 0.4 hektar dan mampu meraih pendapatan hingga RM3,000 semusim,” katanya.

Katanya, selepas tanaman roselle, petani akan beralih dengan pelbagai jenis sayuran selain jagung, labu dan kacang tanah secara pusingan.

“Taburan hujan yang berlebihan menjejaskan aktiviti pertanian di daerah ini. Kemarau juga turut menjejaskan pengeluaran roselle apabila banyak pokok mati dan terbantut, sekali gus menjejaskan pendapatan peserta yang kebanyakan bergantung kepada aktiviti pertanian untuk menambah pendapatan keluarga.

“Pengeluaran keseluruhan buah roselle tahun ini dijangka menurun berbanding tahun lalu disebabkan kemarau yang menyebabkan banyak tanaman tidak menjadi,” katanya.

Peserta Noramizan Abd Hamid, 59, berkata, dia mengusahakan tanaman roselle sejak 2010 di tanah seluas 0.2 hektar di Kampung Desa Murni berhampiran rumahnya.

Katanya, hasil pengeluaran roselle setiap tahun tidak menentu dan bergantung kepada keadaan cuaca dan penjagaan.

“Saya mengusahakan tanaman bersama suami dan anak-anak. Mereka membantu melakukan aktiviti seperti membaja dan merumput termasuk memetik buah serta membuang biji atau deko.

“Hasil jualan dapat menambah pendapatan keluarga. Saya mampu meraih pendapatan hingga RM2,000 semusim,” katanya yang akan mengusahakan tanaman sayuran selepas selesai projek roselle.

Beliau berkata, sokongan FAMA yang menguruskan aktiviti belian dan khidmat nasihat pemasaran menambahkan semangat petani untuk terus mengusahakan tanaman itu walaupun terpaksa berdepan keadaan cuaca tidak menentu.

Bagi Salmah Salleh, 40, yang mengusahakan tanaman roselle seluas 0.2 hektar, tanah di Kampung Desa Murni yang subur menjadi kelebihan untuk tanaman roselle dan sayuran.

Katanya, walaupun mengusahakan tanaman roselle secara sambilan, hasil diraih begitu menggalakkan kerana dalam masa tiga bulan pendapatan RM2,000 hingga RM3,000 berjaya diraih dengan hanya bermodalkan kira-kira RM500.

“Saya menanam roselle secara sambilan bagi memenuhi masa lapang kerana tanaman itu tidak memerlukan penjagaan rapi.

“Anak benih memerlukan siraman setiap hari jika panas manakala proses membaja dilakukan sekali sahaja sebelum pokok berbuah.

“Pokok roselle mengeluarkan hasil selepas tiga bulan ditanam, kemuncak pengeluaran buah pada bulan ketiga hingga ke empat sebelum pokok mati,” katanya yang mendapat bantuan suami dan anak untuk memungut hasil.

Sumber: myMetro

Minyak Enjin Berasaskan Minyak Kelapa Sawit

Universiti Putra Malaysia (UPM) berjaya menghasilkan minyak enjin Green Synthetic Engine Oil yang berkualiti mesra alam dengan menggunakan stok asas utama iaitu Palm Oil Based Trimethylolropane (TMP) Ester.


TMP ialah ester metil minyak sawit bersifat mesra alam dan meningkatkan biodegrasi. Minyak ini mengurangkan pencemaran alam, tidak toksik, melindungi enjin untuk tempoh lama dan bersifat bio.

Ketua Penyelidik dari Jabatan Kejuruteraan Kimia dan Alam Sekitar, Fakulti Kejuruteraan UPM Prof Dr Robiah Yunus berkata, TMP ialah ester sintetik yang boleh digunakan sebagai minyak asas bagi pelbagai jenis pelincir termasuk minyak enjin.

Beliau berkata, minyak sawit bahan mentah untuk menghasilkan ester TMP dengan menggunakan teknologi tekanan rendah untuk memastikan ester TMP yang terhasil stabil pada suhu tinggi seperti dalam minyak enjin.

“Ester TMP yang berada di pasaran kini dihasilkan dengan tindak balas pengesteran menggunakan asid lemak sebagai bahan mentah.

“Ia mempunyai kualiti rendah kerana kandungan asid yang tinggi dan kekurangan kestabilan oksidatif. Green Synthetic Engine Oil dihasilkan melalui proses transesterifikasi (tindak balas kimia di antara alkohol dan ester) menggunakan ester metil sawit sebagai bahan mentah.

“Penggunaan teknologi tekanan rendah memastikan kestabilan haba dan oksidatif pada produk,” katanya pada sidang media selepas Persidangan dan Pameran Teknologi Hijau serta Produk Eko Antarabangsa (IGEM 2016) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Majlis pelancaran minyak berkenaan disempurnakan Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah. Hadir sama Naib Canselor UPM Prof Datin Paduka Dr Aini Ideris.

Robiah berkata, penyelidikan yang bermula dari 2003 hingga 2013 itu membabitkan penyelidik antaranya Dr Ooi Tian lye, Dr Siti Zubaidah Sulaiman, Dr Chang Teck Sin dan Dr Nurin Zulkifli.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pelincir khas perlu digunakan pada enjin petrol untuk mengurangkan geseran, melawan pengoksidaan, mengurangkan pembentukan bendasing dan mencegah hakisan.

“Satu formula khas telah dibangunkan dengan menggunakan ester TMP dan bahan aditif terpilih untuk memenuhi keperluan pasaran.


“Bahan api atau bahan api bio yang lain mudah dibakar untuk membentuk karbon dioksida dan air selepas setiap penggunaan. Tetapi, minyak enjin motor akan kekal sama selepas penggunaan beberapa ribu kilometer (km) perbatuan.

“Minyak ini perlu diganti sekurang-kurangnya setiap 5,000km dan akan dikitar semula sehingga ia tidak dapat dikitar lagi dan perlu dilupuskan,” katanya.

Robiah berkata, perkara itu membimbangkan kerana petroleum berasaskan minyak enjin tidak mesra alam dan tidak terurai. Oleh itu, penting untuk menghasilkan minyak yang boleh terurai supaya apabila dilupuskan ia tidak mencemarkan alam sekitar.

“Penggunaan ester TMP sebagai minyak asas atau campuran dalam minyak enjin biosintetik dapat meningkatkan biodegrasi dan pelinciran minyak enjin.

“Minyak enjin ini direka untuk membantu meningkatkan prestasi, kuasa pembersihan dan perlindungan enjin. Minyak ini juga mengurangkan pencemaran alam sekitar yang berkaitan dengan produk petroleum.

“Ujian makmal menunjukkan minyak biosintesis produk berkesan untuk melindungi enjin dan jentera. Ia juga berasaskan bio, mesra alam, tidak toksik dan tidak terkumpul dalam organisma marin.

“Selain itu, minyak motor dan pelincir yang dirumuskan dengan ester TMP juga boleh dikitar semula dan dilupuskan dengan lebih bebas berbanding minyak berasaskan petroleum,” katanya.

Menurutnya, minyak enjin ini sesuai digunakan untuk jentera pertanian dan kenderaan biasa kerana ia bersifat terbiodegrasi dan dapat melindungi alam sekitar semasa tumpahan tidak sengaja atau pelupusan haram.

“Teknologi untuk menggunakan ester TMP dalam minyak enjin telah dilesenkan kepada D2O Resources Sdn Bhd. Bagaimanapun, minyak enjin berdasarkan ester TMP masih di peringkat percubaan,” katanya.

Sumber: myMetro

Ladang Madu Kelulut Ori

Berbekalkan daya kreativiti dan minat terhadap flora dan fauna, seorang penternak kelulut berjaya mentransformasikan ladang ternakannya menjadi sebuah taman bercorak fantasi, sekali gus menarik perhatian orang ramai untuk melawatnya.


Tidak hairanlah kini, setiap hari ladang di Kilometer 8.4, Kampung Padang Lalang, Alor Janggus, Alor Setar, Kedah, itu bukan saja dikunjungi penduduk tempatan malah pelancong luar negara.

Menerusi carian di Internet, penulis teruja melihat sendiri tempat itu yang dikenali sebagai Ladang Madu Kelulut Ori berikutan banyak gambar keindahan landskap hiasannya dikongsikan netizen.

Keramahan pemiliknya Chan Kok Thian, 32, yang tidak lokek bercerita mengenai ternakan kelulutnya dan usaha membina ladang itu, masih terngiang-ngiang di telinga penulis ketika berkunjung ke situ, baru-baru ini.

Lokasinya cukup mudah untuk dikunjungi iaitu di tepi Jalan Kangar-Alor Setar dan biarpun laluan itu agak sibuk dengan kenderaan, ladang berkonsepkan ekotourism dan berwarna-warni itu diterjemahkan pemiliknya menjadi tarikan untuk sesiapa saja singgah di situ.

Menurut Chan, ladang itu dibuka sejak 24 Julai 2014 selepas melihat potensinya berikutan ketika itu di kawasan berkenaan masih kurang tempat tarikan pelancongan.

“Saya menternak kelulut ini secara suka-suka apabila diajak rakan. Apabila sudah lama, madu semakin banyak sehingga tidak tahu hendak buat apa.

“Dari situ saya membuka kedai menjual madu kelulut dan produk sampingan berasaskan madu kelulut seperti kopi madu kelulut dan sabun badan madu kelulut menggunakan jenama Dukun Jaya.

“Saya kemudian membuat perubahan dengan membangunkan landskap bertemakan alam fantasi ini untuk menarik pengunjung,” katanya.

Sejak mula tiba, pandangan penulis tertumpu kepada sebuah replika kincir angin, pondok telefon, binaan batu hiasan berbentuk cendawan dan patung kecil yang dicat dengan warna terang.

Chan memberitahu dia membina sendiri kincir angin itu menggunakan bahan terbuang dan bercadang melakukan perubahan lain termasuk mengubah susun atur hiasan di situ supaya pengunjung tidak bosan.

Melangkah ke dalam kawasan ladang itu, banyak hiasan lain tidak kurang menarik seperti binaan perigi lama, atap diperbuat daripada botol terpakai dan pelantar kayu serta binaan buluh juga daripada bahan terbuang.

Di atas pelantar kayu itu pengunjung boleh bergambar berlatarbelakangkan sawah padi dan Gunung Keriang selain melihat pelbagai jenis itik air dipelihara di tali air.


Selain itik, pemiliknya turut memelihara beberapa kambing yang jinak, angsa dan pelbagai spesies burung.

Penulis sempat berbual dengan dua pengunjung iaitu Hafifuddin Hashim, 42, dari Alor Setar dan Dexter Wong, 38, dari Pulau Pinang yang kelihatan begitu ceria bersiar-siar dan merakam gambar bersama keluarga masing-masing di pelbagai sudut di ladang itu.

Bagi Hafiffuddin ladang itu umpama zoo mini manakala Dexter pula kali kedua datang kerana ia percuma dan anaknya suka melihat haiwan.

Difahamkan, disebabkan keunikan ladang berkenaan, ia pernah menjadi lokasi penggambaran video klip lagu dan program televisyen selain dikunjungi pasangan pengantin untuk merakam gambar kenangan.

Ladang Madu Kelulut Ori beroperasi setiap hari mulai jam 9.30 pagi hingga 7 malam manakala pada Jumaat, Sabtu dan Ahad serta cuti umum, ia dibuka pada jam 9 pagi hingga jam 7.30 malam.

Setakat ini pemiliknya tidak bercadang mengenakan bayaran masuk kerana gembira melihat orang ramai datang ke ladangnya dan merakam gambar.

Sumber: myMetro

Bisnes Ikan Belanak Salai

Biasanya harga ikan belanak di pasar antara RM3 hingga RM6 sekilogram. Bagaimanapun, dengan sedikit usaha harga itu boleh meningkat kepada RM25 sekilogram jika disalai.


Menyedari potensi ini, Aminah Bidin, 48, dari Kampung Kindu, Tuaran, Sabah, mengusahakan perusahaan ikan salai sejak 10 tahun lalu.

Dia yang turut menyalai ikan kacang-kacang dan udang kini tidak menang tangan memenuhi permintaan pelanggan.

Dibantu anaknya Zuria Yunus, 25, mereka mengeluarkan purata 2,000 kilogram ikan salai sebulan, sedangkan permintaan pelanggan jauh lebih tinggi.

Aminah berkata, dia hanya menyalai ikan segar terpilih.

“Ikan berkenaan perlu dibuang perut terlebih dahulu dan dibelah belakangnya supaya mudah disalai serta cepat kering.

“Sebelum itu, ikan berkenaan dicuci bersih dengan membuang kotoran seperti darah di dalam perut dan insang.

“Jika kotorannya tidak dicuci bersih, ia akan cepat busuk dan tidak tahan lama,” katanya yang ditemui, baru-baru ini.

Menurutnya, penggunaan berus plastik lebih berkesan untuk menanggalkan darah serta kotoran, sekali gus dapat menjamin kualiti ikan.

“Kemudian, ikan berkenaan perlu ditoskan 15 hingga 30 minit untuk menyejatkan airnya. Penyejatan ini perlu bagi memudahkan kerja penyalaian agar tidak memakan masa yang lama.

“Ikan itu kemudian diatur di atas pemidang dapur salaian. Setiap 10 hingga 15 minit ia perlu dibalik-balikkan di kedua-dua bahagian badannya.

“Ia perlu dilakukan bagi memastikan semua bahagian masak dengan sempurna. Lazimnya, proses itu mengambil masa sekitar sejam,” katanya.

Aminah berkata, tidak semua ikan sesuai untuk disalai. Lazimnya, ia bergantung pada permintaan pelanggan.

“Permintaan paling tinggi ialah ikan belanak. Ini kerana dagingnya yang pejal mencetuskan rasa sedap selepas disalai.

“Ketika disalai, kawalan api sangat penting. Api hendaklah sederhana besar, jika tidak ia akan hangus sekali gus merosakkan kualitinya,” katanya.

Menurutnya, kayu bakau antara bahan api terbaik untuk menyalai kerana ia kurang mengeluarkan asap yang melekat pada ikan.

Katanya, faktor ikan salai kurang berbau asap membuatkan produknya sering mendapat tempat di hati pengguna berbanding pengusaha lain.

“Selain ikan tidak berbau asap, bara kayu bakau bertahan lama dan mudah dikawal,” katanya.
Aminah berkata, ikan kacang-kacang dan udang salai turut mendapat permintaan tinggi.

“Dengan pengeluaran yang terhad, saya tidak mampu memenuhi semua permintaan pelanggan. Justeru, pelanggan perlu menempah awal supaya tidak kempunan,” katanya.


Katanya, ikan kacang-kacang dijual dengan harga RM20 sekilogram manakala belanak dan udang masing-masing RM25 dan RM50 sekilogram.

“Ikan salai boleh disimpan lama. Ia boleh diolah dengan pelbagai resipi masakan. Antaranya, masak lemak cili padi, masak kicap dan goreng pedas berlada,” katanya.

Katanya, bahan mentah seperti ikan dan udang segar boleh didapati dengan mudah daripada nelayan tempatan. Selebihnya boleh dibeli di jeti nelayan berdekatan atau Pasar Besar Kota Kinabalu.

“Setakat ini, tiada masalah pasaran cuma sukar memenuhi permintaan yang makin meningkat. Saya perlu membina pondok salai baru dan menambah modal,” katanya.

Dia yang pernah membuat pinjaman daripada Amanah Ikhtiar sebanyak RM20,000 berkata, setakat ini tiada mana-mana pihak atau jabatan membantu perniagaannya.

“Pinjaman itu tidak mencukupi untuk membina pondok salai baru. Kos pembinaan pondok baru sekitar RM15,000 termasuk operasi.

Tinjauan penulis mendapati kegagalan membina pondok salai baru bermakna peningkatan pengeluarannya terhalang. Sepatutnya kegiatan ekonominya mampu berkembang dengan lebih cemerlang.

Justeru, agensi kerajaan berkaitan diminta tampil membantu menyelesaikan masalah dihadapinya.

Sumber: myMetro

Peluang Francais Kebab Turki Baba Rafi

Inky Sdn Bhd (Inky), pemegang francais induk bagi jenama Kebab Turki Baba Rafi berhasrat meluaskan pasaran jenama itu di Malaysia dengan sasaran pembukaan 150 cawangan dalam tempoh empat tahun akan datang.


 Pengarah Urusannya, Afandi Oh Omar Oh berkata, sehingga kini jenama terbabit sudah memiliki 20 cawangan di seluruh negara dan ia dijangka bertambah kepada 30 cawangan dalam tempoh terdekat.

“Kami amat mengalukan penyertaan daripada individu berminat untuk menyertai program francais ini di mana masih banyak lokasi yang belum diterokai jenama ini meskipun sudah diperkenalkan di Malaysia sejak empat tahun lalu,” katanya.

Kebab Turki Baba Rafi adalah jenama francais dari Indonesia yang kini memiliki 1,200 cawangan di Indonesia dan ia mula berada di pasaran tempatan sejak Mei 2012 selain pasaran global lain seperti China, Sri Lanka, Belanda, Filipina, Singapura, Bangladesh dan Brunei.

Beliau berkata, individu berminat boleh membuka perniagaan francais ini dengan modal serendah RM100,000 bergantung kepada jenis cawangan dan lokasi cadangan yang perlu berada dikawasan dengan trafik tinggi terutama di pusat beli-belah.


“Mereka boleh membuka cawangan dengan saiz seperti kios di mana ia boleh menjana pendapatan baik berikutan ia mampu mengurangkan kos pengurusan dan perlu merebut peluang perniagaan itu untuk memperkenalkan jenama ini terutama di kawasan yang masih belum diterokai,” katanya.

Maklumat lanjut, boleh layari laman web Kebab Turki Baba Rafi.

Sehingga kini, cawangan Kebab Turki Baba Rafi terdapat di Kelantan, Kedah, Selangor, Kuala Lumpur, Johor, Negeri Sembilan dan Sarawak dengan majoriti cawangan berada di kawasan Lembah Klang.

Kebab Turki Baba Rafi adalah rangkaian jenama francais kebab terbesar di Malaysia di mana ia menawarkan menu kebab daging, ayam, hot dog dan sayuran dengan pilihan roti dan sos di samping menu lain seperti burger, hot dog dan shawarma.


About Kebab:
(Arabic: کباب‎), (also kebap or kabab) is a Middle Eastern, Eastern Mediterranean, and South Asian dish of pieces of meat, fish, or vegetables roasted or grilled on a skewer or spit originating in the Eastern Mediterranean, where it is mentioned by Homer, or the Middle East, and later adopted in Central Asia and by the regions of the former Mongol Empire and later Ottoman Empire, before spreading worldwide.

Sumber: myMetro